7 OGOS 2012 / 18 RAMADHAN 1433H.


Pada 7 Ogos 2012 bersamaan dengan 18 Ramadhan 1433H, Unit Pembangunan Pelajar & Tarbiah Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama pegawai Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK).

PKINK diwakili oleh tiga orang wakilnya iaitu Ustaz Ismail Shauki Ibrahim, Yang dipertua Kelab Sukan & Kebajikan PKINK, Ustaz Ahmad Ubaidillah Alias, Ketua Biro Dakwah PKINK dan Encik Abdul Aziz. Kehadiran PKINK ini juga untuk menyampaikan zakat kepada pelajar-pelajar IDIP sempena bulan Ramadhan tahun 2012 ini.

Majlis bermula pada pukul 6 petang di Dewan Putra IDIP dengan bacaan Al-Quran beramai-ramai pelajar IDIP sehingga pukul 6.30 petang. Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan wakil IDIP, disampaikan oleh Encik Nik Mohamad Aizat, Penolong Pendaftar IDIP. Dalam pukul 6.45 petang, ceramah Nuzul Quran disampaikan oleh Ustaz Ahmad Ubaidillah Alias. Ceramah Nuzul Quran ini bertujuan untuk mengingatkan dan menekankan kepentingan Al-Quran kepada pelajar-pelajar IDIP yang majoritinya terdiri daripada saudara baru.

Ceramah ditamatkan pada pukul 7.15 petang bagi memberi peluang kepada peserta majlis untuk bersiap-siap ke surau IDIP untuk berbuka puasa. Peserta majlis berbuka dengan kuih muih sebelum mendirikan solat maghrib berjemaah. Selepas solat, wakil rombongan PKINK, kakitangan IDIP dan pelajar-pelajar bergerak ke Kantin IDIP untuk menikmati juadah berbuka puasa. Selepas berbuka puasa di Kantin IDIP, wakil-wakil PKINK berangkat pulang dan kakitangan IDIP bersama pelajar mengerjakan solat terawih di Surau. Majlis penyerahan zakat kepada pelajar IDIP berlangsung selepas solat Terawih.

Majlis berbuka puasa ini disamping sebagai majlis penyerahan zakat kepada pelajar IDIP ia juga dapat mengeratkan kerjasama antara PKINK dan IDIP sendiri. Program tadarus Al-Quran dan ceramah Nuzul Quran yang menjadi sebahagian daripada slot majlis berbuka puasa ini pula bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman para pelajar IDIP akan kemuliaan dan kepentingan Al-Quran.